KUCHING: Mahkamah Majistret, memerintahkan pelajar lelaki berusia 16 tahun yang didakwa mencederakan guru sekolah menengah swasta dengan kapak pada 21 Oktober lalu, dihantar ke Hospital Sentosa, di sini selama sebulan bagi menjalani pemantauan mental.

Perintah mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah itu dikeluarkan Majistret Leona Dominic Mojiliu selepas pelajar Tingkatan Empat itu dihadapkan ke mahkamah atas tiga pertuduhan berkaitan kejadian terbabit.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan dan mahkamah menetapkan 17 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes.

Mengikut pertuduhan pertama, pelajar itu didakwa membawa kapak kecil ke dalam bilik darjah, iaitu senjata berjadual mengikut Butiran 7, Jadual Kedua Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357).