KUALA LUMPUR: Dua gelaran dalam lima kejohanan pertama bukan alasan untuk beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King, mendabik dada, sebaliknya mereka kini meletakkan peningkatan ranking dunia sebagai keutamaan dalam setiap kejohanan.

Pemain berusia 25 tahun, Roy King berkata, mereka tidak mahu terlalu memikirkan soal menambah koleksi kejuaraan, sebaliknya melihat setiap perlawanan sebagai peluang untuk memperbaiki mutu permainan dan mengukuhkan kedudukan dalam kelompok terbaik dunia.

"Fokus kami sekarang adalah untuk meningkatkan ranking dunia dalam setiap kejohanan. Kami hanya mahu memberikan yang terbaik.

"Kami tidak terlalu memikirkan soal memenangi gelaran kerana setiap kejohanan adalah peluang untuk belajar. Itu pendekatan kami buat masa ini," katanya.