Kuala Lumpur: Universiti Malaya (UM) bakal meraikan 11,852 graduan pada Istiadat Konvokesyen ke-66 yang berlangsung mulai esok hingga 26 Nov di Dewan Tunku Canselor.
UM dalam kenyataan hari ini memaklumkan istiadat yang diadakan bersempena sambutan 121 tahun penubuhan institusi itu akan berlangsung dalam 17 sidang, dengan sidang pertama esok dijadualkan disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku Canselor UM.
Istiadat itu menyaksikan penganugerahan pelbagai peringkat kelayakan akademik merangkumi ijazah kedoktoran, ijazah sarjana, ijazah sarjana muda serta diploma dalam pelbagai bidang pengajian.
"Istiadat konvokesyen kali ini turut menjadi platform pengiktirafan terhadap sumbangan tokoh-tokoh terkemuka dalam bidang akademik, kepakaran profesional dan pembangunan masyarakat melalui penganugerahan Ijazah Kehormat serta pengiktirafan gelaran Profesor Emeritus," menurut kenyataan itu.








