KUALA LUMPUR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia, Ajay Sharma di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, hari ini.

Menurut kenyataan, Ajay diiringi isterinya, Evren Sharma, berada di Perlis bagi lawatan kerja dua hari bermula semalam untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pembangunan ekonomi.

"Antara cadangan dikemukakan Ajay ialah menarik syarikat British yang sudah bertapak di rantau ini untuk meluaskan pelaburan mereka.

"Dalam aspek pelaburan, beliau mencadangkan Perlis turut meneroka potensi syarikat British yang beroperasi di Malaysia dan negara jiran khususnya wilayah selatan Thailand bagi menggalakkan peluasan operasi dan pelaburan mereka ke Malaysia," katanya.