RANAU: Disangka pelanduk ketika mencari katak di kawasan sungai, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun parah selepas terkena tembakan senjata api buatan sendiri atau 'bakakuk' di Kampung Tinanom, di sini, malam Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa mengalami kira-kira 13 kesan kecederaan pada beberapa bahagian badan termasuk leher, dada, bahu, tangan dan lutut kanan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai petani ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ranau kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.








