Ranau: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun cedera parah selepas dipercayai terkena tembakan pada bahagian leher dalam kejadian berhampiran Sungai Keliu, Kampung Tinanom, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa dikatakan sedang menangkap ikan dan katak di tepi sungai bersama bapa saudaranya sebelum insiden tembakan berlaku.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal polis mendapati, bapa saudara mangsa terdengar satu das tembakan ketika sedang mencari kayu api sebelum menemui mangsa dalam keadaan cedera di tebing sungai bersama seorang lelaki lain.

"Mangsa kemudian dibawa keluar dari kawasan berkenaan sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Paginatan, Ranau kira-kira jam 9 malam.