Kapal yang merempuh tebing Taman Rekreasi MADANI Esplanade Wing di Lumut merupakan kapal tangki tidak bermuatan yang dipercayai sedang menjalani ujian perjalanan laut atau sea trial tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata siasatan awal mendapati kapal berkenaan yang membawa 10 kru warga Thailand sebelum ini dikenali sebagai Fuji dan dipercayai telah bertukar pemilikan kepada pemilik baharu dari Thailand sebelum didaftarkan semula dengan nama Midas di negara tersebut.

“Berdasarkan maklumat awal daripada Jabatan Laut, kapal berkenaan dipercayai telah keluar pada malam sebelumnya bagi tujuan menjalankan ujian pemanduan (sea trial) tanpa kebenaran pemeriksaan awal ke atas kapal tersebut bersama agensi-agensi berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di Lumut hari ini.