KUALA LUMPUR: Menafikan dirinya dibelenggu hutang, pempengaruh, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfeq atau Dr Fie mendakwa mampu menjana pendapatan lumayan hasil kerjaya dalam bidang perniagaan dan penciptaan kandungan digital.

Dr Fie, 36, berkata kedudukan kewangan kukuh yang dikecapi hari ini adalah hasil usaha sendiri menerusi beberapa cabang kerjaya termasuk sebagai doktor gigi, pengusaha klinik pergigian, pempengaruh media sosial dan duta produk.

Pendedahan itu dibuat ketika menjawab pertanyaan usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri dalam episod Paparazzi Podcast yang turut menampilkan suaminya, Amarul Nizar Anuar atau Kapten Amrul.

Menurut Dr Fie, pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan ketika bertugas sebagai doktor kerajaan tidak mencukupi untuk membolehkannya memiliki aset bernilai tinggi seperti rumah.