MANILA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak menunjukkan komitmen politik baharu bagi memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) yang berkesan dan substantif di Laut China Selatan, sambil menyatakan bahawa rundingan kini berada pada tahap kritikal.
Beliau berkata, Malaysia selaku pengerusi bersama rundingan itu dengan China, kekal komited untuk mengekalkan momentum ke arah memuktamadkan perjanjian berkenaan.
“Komitmen politik baharu daripada semua delegasi amat penting bagi mencapai matlamat bersama kita untuk mewujudkan COC yang berkesan dan substantif,” katanya dalam kenyataan negara pada Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-29 di sini hari ini.
Terdahulu, ketika menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN bagi pihak blok itu, Anwar berkata ASEAN mengalu-alukan momentum dan kemajuan ketara yang dicapai dalam rundingan berkenaan.









