KUALA LUMPUR: Lelaki memegang objek menyerupai pistol yang dilihat mengejar sebuah kereta dalam video tular di Jalan Sultan Salahuddin di sini, dipercayai anggota polis yang menjalankan Op Tapis Khas, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin, berkata kejadian jam 6.30 petang ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mengesan sebuah Honda Accord hitam dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika polis menghampiri kenderaan itu untuk pemeriksaan, pemandunya memecut secara melulu dan melanggar sebuah Honda City biru bagi meloloskan diri.

“Pada jam 6.40 petang, polis dapat mengesan semula kereta berkenaan di persimpangan Jalan Sultan Salahuddin sebelum mengejarnya,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.