KERAJAAN mahu memperketat kawalan terhadap pembangunan pusat data bagi memastikan pelaburan dalam sektor berkenaan berasaskan permintaan dan kegiatan perniagaan sebenar, bukannya didorong spekulasi.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata Malaysia tidak berhasrat menghalang kemasukan pelaburan pusat data, namun setiap projek perlu mempunyai asas komersial kukuh dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan pihak tertentu menyertai industri pusat data hanya kerana sektor berkenaan sedang mendapat perhatian pelabur.
Kerajaan, katanya, turut mahu mengelakkan pengumuman projek pusat data digunakan sebagai gimik untuk menaikkan harga saham syarikat tanpa kegiatan perniagaan sebenar.









