WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam berikrar untuk bangkit mengukuhkan semula kedudukan politiknya selepas parti Republikan hilang penguasaan dalam Kongres pada pilihan raya pertengahan penggal.

Kekalahan teruk Republikan dalam pilihan raya pada Selasa minggu lalu itu menyebabkan kedudukan politik Trump kian tersepit ketika memasuki tempoh baki dua tahun penggalnya di Rumah Putih tanpa kuasa politik yang kukuh.

Malah, ia turut membuka ruang untuk pelbagai siasatan dijalankan oleh Kongres yang kini dikuasai Demokrat, terhadap Presiden itu, keluarga serta pegawai kanan pentadbirannya.

Dalam beberapa rancangan bual bicara politik, semalam, bakal pemimpin baharu Kongres daripada parti Demokrat berjanji akan memastikan Trump dan pembantunya dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka.