KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bersetuju supaya baki 880 calon simpanan bagi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) ditawarkan pelantikan sebelum tarikh tamat 14 Disember ini.

KPM dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun setakat ini seramai 3,537 daripada 4,417 calon simpanan bagi jawatan PPP pengambilan 2025 sudah ditawarkan surat pelantikan.

"KPM cakna terhadap keluh kesah calon simpanan bagi jawatan PPP yang akan tamat tempoh pada 14 Disember ini.

"Justeru KPM dan SPP sudah mengadakan perbincangan bagi merungkai isu ini dan seterusnya bersetuju supaya baki 880 calon simpanan bagi jawatan PPP ditawarkan pelantikan sebelum tarikh tamat tempoh berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.