PUTRAJAYA: Seramai 880 orang baki calon simpanan bagi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) 2025 akan ditawarkan pelantikan sebelum tarikh tamat tempoh pada 14 Disember depan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya cakna terhadap keluh kesah calon simpanan bagi jawatan itu dan KPM telah berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan berhubung isu tarikh tamat tempoh berkenaan.

Katanya, sehingga kini seramai 3,537 daripada 4,417 calon simpanan pengambilan 2025 telah ditawarkan surat pelantikan.

“KPM dan SPP telah mengadakan perbincangan bagi merungkai isu ini dan seterusnya telah bersetuju agar baki 880 orang calon simpanan PPP ditawarkan pelantikan sebelum tarikh tamat tempoh berkenaan,” katanya hari ini.