KUALA LUMPUR: MBSB Bank Bhd memeterai perjanjian pembiayaan bernilai RM1 bilion dengan WIH Malaysia Building Materials Sdn Bhd (WIHMY) bagi pembangunan loji pembuatan simen dan batu kapur bersepadu di Gua Musang, Kelantan.

Projek itu membabitkan pembinaan loji simen berkapasiti 7,500 tan sehari serta operasi kuari batu kapur yang dijangka memperkukuh bekalan bahan binaan bagi memenuhi permintaan di Pantai Timur dan kawasan lain di Semenanjung Malaysia.

Pembangunan itu dijangka turut merancakkan kegiatan ekonomi di Gua Musang menerusi pewujudan peluang pekerjaan, peningkatan aktiviti perniagaan tempatan serta pengukuhan rantaian bekalan industri pembinaan.

WIHMY adalah cabang operasi tempatan West China Cement Limited (WCC), yang beroperasi di bawah anak syarikat pelaburan antarabangsanya, Yaobai International Holding Limited.