PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) memperluas kerjasamanya dengan penyedia teknologi kewangan (fintech) global, Wise Platform menerusi pengenalan perkhidmatan Global Easy Transfer (GET).

Penyelesaian pemindahan wang antarabangsa berasaskan perbankan pertama di Malaysia yang dikuasakan oleh Wise itu membolehkan pelanggan membuat transaksi sehingga RM150,000 sehari merentasi 20 mata wang utama dunia.

Perkhidmatan yang diakses menerusi aplikasi M Journey MBSB Bank itu meliputi koridor pembayaran utama seperti Dolar Amerika Syarikat (AS$), Pound Sterling (GBP), Euro (EUR) dan Dirham Emiriah Arab Bersatu (AED).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Rafe Haneef berkata, pemindahan wang antarabangsa kini menjadi keperluan kewangan harian rakyat Malaysia bagi tujuan pendidikan, sokongan keluarga, pelaburan mahupun perniagaan.