KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) memperkenalkan i-HEV sebagai nama rasmi teknologi hibrid pintar generasi baharunya yang bakal digunakan pada model akan datang dengan nama kod AMA 02, sekali gus menandakan perkembangan baharu dalam penawaran rangkaian kuasa elektrifikasi pengeluar kereta nasional itu.

Sistem berkenaan menggabungkan enjin petrol khusus untuk kegunaan hibrid, dua motor elektrik serta pengurusan tenaga pintar bagi menawarkan penggunaan bahan api lebih rendah, selain prestasi pemanduan yang lancar dan responsif.

Menariknya, teknologi itu tidak memerlukan pengecasan luaran kerana bateri dicas menerusi sistem penjanaan kuasa enjin dan brek regeneratif, membolehkan pengguna menikmati manfaat pemanduan elektrik tanpa perlu mengubah rutin mengisi petrol seperti biasa.