CYBERJAYA – Kejayaan pelaksanaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) membuktikan hasil bidaan nombor pendaftaran mampu menjadi sumber pendapatan tambahan kerajaan bagi menyokong pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, mekanisme tersebut membolehkan kerajaan menjana hasil tambahan tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Kementerian Kewangan (MOF).Menurut beliau, hasil bidaan nombor pendaftaran yang dikutip bukan merupakan pendapatan JPJ, sebaliknya disalurkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi pelaksanaan pelbagai program dan bantuan."Hasil ini tidak masuk ke JPJ. Kita adalah jabatan pelaksana yang melaksanakan apa jua arahan kerajaan."Kita tidak perlu kecewa apabila peruntukan kutipan yang mencecah RM90 juta itu tidak memberi satu sen pun kepada JPJ kerana itu sememangnya tanggungjawab kita," katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kejayaan Peluncuran Nombor Pendaftaran Istimewa Siri H di sini pada Selasa.Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, antara inisiatif yang pernah dibiayai menerusi hasil bidaan NPI ialah program bantuan lesen memandu motosikal kepada golongan B40 yang tidak berkemampuan.Menurutnya, kerajaan turut menanggung kos latihan dan ujian memandu yang dianggarkan sekitar RM350 bagi setiap peserta."Kita cari mereka, minta mereka mendaftar dan melalui proses saringan."JPJ membayar kos lesen serta ujian memandu mereka. Daripada mereka menunggang motosikal tanpa lesen, kita bantu mereka mendapatkan lesen yang sah," katanya.Beliau berkata, hasil bidaan NPI turut digunakan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan dari Sabah dan Sarawak mendapatkan tiket penerbangan untuk pulang ke kampung halaman ketika melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.Sebagai bukti keberkesanan mekanisme tersebut, bidaan NPI Siri H berjaya mencatat kutipan sebanyak RM91.2 juta dalam tempoh lima hari.Jumlah itu mengatasi rekod terdahulu yang dicatatkan menerusi NPI Siri FF, dengan kutipan sekitar RM34 juta.Menurut Aedy Fadly, daripada jumlah kutipan Siri H itu, kira-kira RM45 juta hingga RM46 juta telah diperuntukkan untuk pemberian bantuan RM1,000 kepada pemandu teksi, pemandu kereta sewa dan pemandu bas sekolah di seluruh negara."Hampir separuh daripada hasil kutipan itu digunakan untuk membantu semua pemandu teksi, pemandu kereta sewa dan pemandu bas sekolah dengan bantuan sebanyak RM1,000 seorang."Golongan ini sudah lama memohon perhatian kerajaan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka," katanya.NPI Siri H dilancarkan pada 14 September lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Malaysia.Kejayaan siri tersebut sekali lagi membuktikan sambutan tinggi orang ramai terhadap nombor pendaftaran istimewa yang pada masa sama memberi pulangan langsung kepada pelbagai program kebajikan dan pembangunan rakyat.