Kuala Lumpur: Misi beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk melangkah ke final ketiga berturut-turut tidak kesampaian apabila terkandas di pusingan pertama Masters Kumamoto di Jepun, hari ini.
Pasangan nombor empat dunia yang juga pilihan kedua kejohanan itu dikejutkan dengan kekalahan kepada gandingan Jepun, Ririna Hiramoto-Chiharu Shida yang menghuni ranking ke-214 dunia, 21-18, 13-21, 14-21 pada aksi di Gimnasium Wilayah Kumamoto.
Selepas memenangi set pertama, Pearly-Thinaah gagal mengekalkan momentum apabila lawan bangkit menguasai permainan untuk memenangi set kedua 21-13, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pada set ketiga, Hiramoto-Shida terus menguasai gelanggang, manakala beberapa kesilapan mudah dilakukan Pearly-Thinaah membuka ruang kepada pasangan tuan rumah mengutip mata sebelum menoktahkan kemenangan 21-14 dalam tempoh 63 minit.










