ALOR SETAR: Ahli perniagaan didakwa di dua Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas enam pertuduhan menipu membabitkan jumlah RM782,380 yang dilakukan antara 2022 hingga 2023.
Mohamad Jaylani Sheikh Mohamad, 47, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Eliana Ismail dan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.
Dia didakwa memperdaya enam mangsa supaya menyerahkan wang bagi pelbagai tujuan termasuk modal perniagaan francais tidak wujud, pembelian 500 cawan minuman yang kononnya untuk disumbangkan kepada beberapa premis dan sekolah serta urusan penjualan kereta mewah.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara minimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.









