Alor Setar: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu membabitkan jumlah RM782,380 yang dilakukan antara 2022 hingga 2023.

Tertuduh, Mohamad Jaylani Sheikh Mohamad, 47, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Eliana Ismail dan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.

Di hadapan Majistret Eliana, Mohamad Jaylani didakwa menipu Nurbahiyah Md Salleh dengan memperdayakan wanita itu supaya menyerahkan wang RM83,500 bagi tujuan modal perniagaan francais yang didakwa tidak wujud, antara 28 Mac hingga 15 April 2023.

Berikutnya, dia didakwa memperdayakan Noor Ashikin Yusoff sehingga menyerahkan wang RM362,000 bagi tujuan sama antara 9 Mei hingga 13 Jun 2023.