Seorang jurujual dan mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan cuba merompak barang kemas bernilai RM8.2 juta bersenjatakan parang di Brickfields.
KUALA LUMPUR: Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba merompak barang kemas bernilai RM8.2 juta milik pembekal barangan itu, bulan lepas.
Jurujual Tan Kah Seng, 35, dan mekanik Tan Chien Ann, 30, didakwa bersama-sama melakukan cubaan merompak tiga beg sandang berisi barang kemas pelbagai jenis dan bentuk milik Toung Zheng Fay, 30, bersenjatakan sebilah parang di depan sebuah hotel di Brickfields pada 10 pagi, 14 Okt lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, dengan Seksyen 393 berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda manakala Seksyen 397 pula memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.









