NILAI: Seorang lelaki warga China ditahan selepas dipercayai meninggalkan anaknya berhampiran Plaza Tol Nilai, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya, berkata pertengkaran dua beradik di dalam kereta dipercayai menjadi punca bapa mereka didakwa berang lalu meninggalkan seorang daripada mereka sebagai pengajaran.

"Susulan insiden yang turut tular itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Nilai diketuai Inspektor Mohd Azuan Saad menahan seorang lelaki warga China di sebuah rumah di Jalan Cheras, Taman Pertama, Kuala Lumpur, sekitar jam 12.15 tengah hari tadi.

"Suspek menunjukkan kereta yang digunakan, kepada pasukan serbuan sebelum rampasan barang kes dibuat di parkir kediaman suspek," katanya dalam satu kenyataan.