SEREMBAN: Seorang lelaki warga China ditahan selepas disyaki meninggalkan anak lelakinya berusia 12 tahun di tepi jalan sebelum kanak-kanak itu terjatuh ketika cuba mengejar kenderaan dipandunya dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Nilai, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 12.15 tengah hari tadi.
Menurutnya, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis berhubung rakaman video tular yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berpaut pada pintu belakang sebuah kereta sebelum terjatuh di atas jalan raya.








