Kuala Lumpur : Sikap berwaspada dan bimbang terhadap komitmen jangka panjang menjadi punca utama sebilangan anak muda daripada generasi Gen Z menangguhkan impian berkahwin mahupun memiliki rumah sendiri.
Menurut Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif FAR Capital, Faizul Ridzuan, kebimbangan itu timbul berikutan persepsi bahawa kedua-dua keputusan berkenaan menuntut tanggungjawab berterusan dalam tempoh yang lama, sekali gus mencetuskan keraguan mengenai kesediaan sebenar mereka.
"Daripada perbincangan saya bersama anak muda Gen Z, saya mendapati ada yang mengelak untuk berkahwin atas faktor yang sama mereka mengelak daripada mengambil pinjaman rumah, iaitu mereka takut terikat.
"Kedua-duanya membabitkan tanggungjawab jangka panjang dan mereka sangsi sama ada mereka benar-benar bersedia," katanya.









