KUALA LUMPUR – Sebuah kereta peronda polis yang sedang berhenti di lorong kecemasan untuk menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan awam dirempuh sebuah lori dalam kejadian di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), Sabtu lalu.
Kejadian kira-kira pukul 1.05 petang itu berlaku berhampiran persimpangan Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), bagi laluan dari arah Sri Petaling menghala ke Shah Alam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati kereta peronda Balai Polis Petaling itu dipandu seorang anggota polis lelaki berusia 40 tahun.
Menurutnya, ketika anggota berkenaan sedang menjalankan pemeriksaan, sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 37 tahun datang dari arah belakang melalui lorong kecemasan sama sebelum merempuh bahagian belakang kereta peronda tersebut.










