SEREMBAN – Kejayaan anak kelahiran Senawang, Dalia Adnin Ruzaini, 24, meraih Anugerah Tokoh Graduan Cemerlang sempena Majlis Konvokesyen Universiti Al-Azhar 2026 mengharumkan nama Negeri Sembilan di persada antarabangsa.

Lebih membanggakan, kejayaan penuntut Fakulti Ulum Islamiah dengan pengkhususan Syariah itu membuktikan anak Negeri Sembilan mampu mencipta kecemerlangan dalam bidang pengajian Islam di institusi pengajian tinggi tersohor dunia.

Dalia berkata, dia tidak menyangka akan menerima pengiktirafan berkenaan kerana sepanjang pengajian, fokus utamanya hanyalah untuk menjadi penuntut ilmu yang bersungguh-sungguh dan memberi manfaat kepada orang lain.

Menurut anak ketiga daripada enam beradik itu, kejayaan itu didorong doa ibu bapanya, Ruzaini Yusof, 62, dan Nor Izuani Mohamad Noor, 54.