Nilai: Seorang lelaki warga China ditahan polis selepas dikatakan meninggalkan anaknya berhampiran Plaza Tol Nilai, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini, sebelum kejadian itu tular semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Johari Yahya berkata, pertengkaran antara dua beradik di dalam kereta menjadi punca bapa mereka berang lalu dikatakan meninggalkan seorang daripada mereka sebagai pengajaran.

"Susulan kejadian tular itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Nilai diketuai Inspektor Mohd Azuan Saad menahan seorang lelaki warga China di sebuah rumah di Jalan Cheras, Taman Pertama, Kuala Lumpur pada 12.15 tengah hari tadi.

"Suspek menunjukkan kereta yang digunakan kepada pasukan serbuan sebelum rampasan barang kes dibuat di parkir kediaman suspek," katanya dalam satu kenyataan hari ini.