KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) meluluskan penyambungan kontrak secara menyeluruh kepada kesemua 5,840 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Contract of Service (CoS) lantikan 2023 yang masih berkhidmat.

​Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penyambungan itu berkuat kuasa sehari selepas tempoh kontrak asal mereka tamat.

​Langkah berkenaan membolehkan semua pegawai terbabit terus berkhidmat dan menerima emolumen seperti biasa sementara menunggu urusan pelantikan tetap dimuktamadkan.

​Menurut KPM, sehingga semalam, seramai 5,632 daripada keseluruhan 5,840 PPP CoS terbabit sudah menerima surat tawaran pelantikan tetap daripada SPP.