PETALING JAYA – Seramai 880 calon simpanan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) bagi pengambilan 2025 akan ditawarkan pelantikan sebelum tempoh sah tamat pada 14 Disember ini.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, sehingga kini seramai 3,537 daripada 4,417 calon simpanan pengambilan 2025 telah ditawarkan surat pelantikan.
“KPM dan SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) telah mengadakan perbincangan bagi merungkai isu ini dan seterusnya telah bersetuju agar baki 880 orang calon simpanan PPP ditawarkan pelantikan sebelum tarikh tamat tempoh berkenaan,” jelas kenyataan itu hari ini.
Menurut KPM, urusan penempatan calon yang berjaya dilantik akan dibuat selepas proses pelantikan selesai dengan mengambil kira kekosongan tempat serta kesesuaian opsyen masing-masing.










