KUANTAN: Seramai 1,800 pegawai dan anggota polis di seluruh Pahang berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata daripada jumlah itu, seramai 750 pegawai dan anggota akan ditempatkan dalam 42 pasukan penyelamat, manakala 377 lagi ditempatkan di bilik gerakan Op Banjir.
"Baki 673 pegawai dan anggota akan membantu operasi bantuan serta menyelamat mangsa banjir di seluruh 11 daerah.
"Kita sudah mengadakan mesyuarat penyelarasan bencana bersama agensi lain bagi memastikan aset logistik masing-masing berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan apabila diperlukan," katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan polis negeri di sini, hari ini.










