SHAH ALAM: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan dua wakilnya mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat serta bersetuju membayar kos berjumlah RM100,000 kepada bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim bagi menyelesaikan kes saman fitnah yang difailkan terhadap mereka.

Persetujuan itu direkodkan menerusi penghakiman persetujuan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Anita Harun di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Selain permohonan maaf dan bayaran kos berkenaan, MHO, Setiausaha Agung, Datuk Hishamuddin Hashim, 47, dan Ketua Unit Pemerdagangan Manusia MHO, Azirul Syafiq, 31, selaku defendan turut bersetuju menarik balik tuntutan balas terhadap bekas Ahli Parlimen Baling itu tanpa sebarang kos.