SANDAKAN: Seramai 11 lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki di Pasar Bandar Ramai-Ramai, di sini, malam tadi.
Kejadian berkenaan menjadi tular dalam media sosial menerusi rakaman video yang memaparkan pergaduhan terbabit.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd. Rakman, berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu menerusi talian kecemasan kira-kira jam 7.36 malam.
Katanya, kesemua suspek berusia antara 15 hingga 46 tahun itu terdiri daripada lima warga tempatan dan enam warga Filipina.








