Sandakan: Polis menahan 11 lelaki termasuk seorang remaja berusia 15 tahun bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan membabitkan dua kumpulan lelaki di Pasar Bandar Ramai-Ramai, di sini, malam tadi.

Semua suspek berusia antara 15 hingga 46 tahun itu membabitkan lima warga tempatan dan enam warga Filipina yang ditahan susulan kejadian berkenaan.

Video pergaduhan itu turut tersebar menerusi media sosial sejak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan pergaduhan yang dipercayai membabitkan penggunaan senjata tajam menerusi talian kecemasan kira-kira jam 7.36 malam.