Selayang: Biarpun memiliki kelulusan pengajian di peringkat Asasi Kejuruteraan Mekanikal, pemuda ini tidak kisah mencari rezeki dengan mengambil upah membersihkan tong sampah dari rumah ke rumah.

Bagi Muhammad Adam Kamaruddin, 30, tiada sebab dia patut berasa malu kerana apa yang lebih penting adalah ikhtiarnya mencari rezeki buat isteri dan dua anak yang kini berusia 10 dan 12 tahun.

Biarpun baru dua minggu bermula, Muhammad Adam bersyukur kerana perkhidmatan ditawarkan mendapat sambutan menggalakkan terutama selepas membuat hebahan di media sosial hingga menjadikannya nekad melakukan kerja berkenaan secara sepenuh masa.

Berkongsi kisahnya, Muhammad Adam berkata, dia pernah melakukan pelbagai pekerjaan dan yang terakhir adalah penjaga kaunter merangkap juruwang selama setahun di sebuah pusat gimnasium.