Dungun: Seekor beruang matahari jantan seberat kira-kira 70 kilogram (kg) ditangkap selepas ditemukan berkeliaran sebelum berlindung serta tidur di bawah sebuah rumah penduduk ketika hujan di Kampung Rantau Abang di sini malam tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk berhubung kehadiran haiwan liar itu pada 8.30 malam.
Beliau berkata, enam anggota Pejabat Perhilitan Dungun digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan sebelum mendapati beruang tersebut masih berada di bawah rumah dalam keadaan sedang tidur.
"Operasi menangkap dan memindahkan haiwan berkenaan kemudian dijalankan sebelum pemeriksaan mendapati beruang itu tidak mengalami sebarang kecederaan serta berada dalam keadaan fizikal yang sihat," katanya dalam kenyataan hari ini.










