KUALA LUMPUR: Malaysia dan Perancis bersetuju menaik taraf hubungan dua hala kepada tahap perkongsian strategik yang membuka lembaran baharu kerjasama melangkaui sektor tradisional merangkumi pertahanan, unsur nadir bumi, tenaga nuklear awam dan semikonduktor.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata keputusan itu dicapai bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
"Dari segi kerjasama pertahanan dan keselamatan, Malaysia dan Perancis mempunyai pelan hala tuju bagi industri berkenaan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini.
"Malah, kedua-dua pihak juga sudah memeterai perjanjian penting membabitkan helikopter penyelamat keluaran Airbus selain mengadakan perbincangan positif mengenai keupayaan kapal selam.









