PETALING JAYA – Penyanyi dan komposer, Waheeda meluahkan rasa bimbang apabila mendapati ramai generasi muda hari ini tidak mengenali perkara asas termasuk seni budaya tradisional dan sawah padi.

Selaku tenaga pengajar Kelab Seni Persembahan di Sekolah Rendah Agama Integrasi AADMS, pemilik nama sebenar Norwahidah Abdul Wahab, 48, itu mengakui terkejut namun dalam masa sama bersedih kerana generasi baharu tidak didedahkan dengan perkara asas dan pengetahun am terutama sawah padi.

“Saya terkejut apabila mereka bersemangat meminati tarian K-pop tetapi langsung tidak tahu apa itu tarian asli seperti zapin dan joget, malah ada yang bertanya apa itu padi atau sawah padi.

“Benda asas pun tidak tahu, belum lagi filem klasik seperti Bujang Lapok, sedih saya memikirkannya,” katanya kepada Kosmo! Online pada tayangan siri vertikal I’m Not Okay, Cikgu! di sini, baru-baru ini.