PERSAINGAN politik tidak lagi tertumpu kepada kekuatan jentera parti, populariti calon atau keupayaan menguasai kawasan pilihan raya.

Satu lagi medan persaingan semakin penting adalah bagaimana parti politik dan calon membentuk persepsi serta mendapatkan kepercayaan pengundi, terutama golongan muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini, merangkumi hampir 47 peratus daripada keseluruhan pengundi.

Angka ini memberikan isyarat jelas pengundi muda bukan lagi boleh diketepikan dalam strategi politik. Namun, memahami kecenderungan mereka memerlukan pendekatan lebih mendalam daripada sekadar melihat pola sokongan terhadap parti tertentu. Lebih penting adalah bagaimana mereka mendapatkan maklumat, membentuk pandangan dan menentukan pihak layak diberikan mandat. Perubahan ini turut memperlihatkan landskap politik semakin dipengaruhi persaingan maklumat.