KOTA MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abd, selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong, di sini, kira-kira 9 pagi.

Ketika ditemui, beliau berkata, berdasarkan maklumat diterimanya, pengundi mula beratur di pusat mengundi berkenaan seawal 7 pagi.

"Alhamdulillah saya dimaklumkan seawal 7 pagi orang dah mula beratur dan kita terima gambar, saya terima gambar tadi... 7.30 pagi sudah ramai pengundi hadir.

"Daripada sembilan saluran mengundi di SK Seri Duyong, jumlah pengundi yang keluar dalam tempoh satu jam pertama, masing-masing mencatatkan sekurang-kurangnya 44 orang, manakala saluran satu merekodkan kehadiran tertinggi iaitu kira-kira 70 orang," katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi, di sini, hari ini.