TANAH MERAH: Ladang sireh seluas lebih dua hektar di Padang Guchil di sini yang diusahakan komuniti Rohingya sejak beberapa tahun lalu, kini dibersihkan sepenuhnya susulan tindakan sitaan pihak berkuasa bulan lalu.
Tinjauan mendapati junjung kayu yang dipasang untuk tanaman berkenaan sudah dirobohkan pihak berkuasa tempatan sejak seminggu lalu.
Bagaimanapun, komuniti terbabit masih menetap seperti biasa di kediaman disewa di kampung berkenaan pada kadar RM250 hingga RM300 sebulan.
Ladang sireh berkenaan disita Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah bulan lalu selepas dikesan melanggar syarat tanah yang mana ia sepatutnya ditanam dengan pokok getah, namun pemilik menyewakan kepada Rohingya untuk penanaman sireh.









