GEORGE TOWN: Kerajaan akan memudah cara segala proses berkaitan pembinaan sekolah bantuan kerajaan bagi memastikan projek pembangunan dan pemindahan sekolah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar tanpa berdepan kerenah birokrasi yang berpanjangan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) komited membantu menyelesaikan segala urusan berkaitan khususnya membabitkan kelulusan pembinaan dan pemindahan lokasi sekolah yang mempunyai keperluan serta permintaan enrolmen.
”Sekiranya tapak baharu telah dikenal pasti dan isu berkaitan tanah diselesaikan, KPM tidak mempunyai masalah untuk memberikan kelulusan bagi membolehkan projek berkenaan diteruskan,” katanya selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Tapak Baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Heng Ee di Bayan Lepas, di sini hari ini.









