Kota Tinggi: Kos tambahan bagi penggunaan peluru berpandu antikapal Atmaca buatan Turkiye untuk kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membabitkan kerja integrasi serta penyediaan sistem pelancar.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan membuat tempahan peluru berpandu Atmaca bagi kapal misi pesisir (LMS), sekali gus membolehkan sebahagian daripada tempahan berkenaan digunakan untuk LCS sebagai pengganti peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) dari Norway.
"Saya memang dah tempah Atmaca untuk LMS. Jadi sekarang saya hanya perlu ambil Atmaca itu dan letak di situ (LCS).
"Kos-kos integrasi dan pelancar (kos tambahan). Apabila Norway pulangkan balik duit kita, baru kita akan guna untuk bayar misil yang baharu," katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Panchor di sini, hari ini.









