Manila: ASEAN perlu mengekalkan keazaman kolektifnya ketika krisis di Asia Barat, bencana alam dan tekanan yang semakin meningkat terhadap multilateralisme menguji kerjasama serantau, kata Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Maria Theresa Lazaro.

Beliau berkata, cabaran itu merumitkan Kepengerusian ASEAN 2026 oleh Filipina, sekali gus menekankan keperluan negara anggota untuk mengekalkan kerjasama melangkaui penggiliran tahunan jawatan pengerusi.

"Jawatan pengerusi mungkin bertukar daripada satu negara anggota kepada negara anggota yang lain, namun keazaman kolektif dan tanggungjawab asas kita terhadap ASEAN perlu kekal utuh," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) di sini pada Sabtu.