Kota Tinggi: Pengguna Internet perlu mempertingkat literasi keselamatan digital bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian (scam) yang semakin licik dan kompleks ketika ini.

​Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kepantasan teknologi serta penggunaan peranti pintar masa kini mendedahkan masyarakat kepada risiko kecurian data dan pemindahan wang haram dalam tempoh beberapa saat.

Beliau berkata meskipun kemajuan teknologi memudahkan urusan harian, tahap kewaspadaan pengguna tetap menjadi benteng utama bagi mengelak daripada terus terperdaya dengan taktik penjenayah siber.

"Masalah paling besar negara hari ini ialah ancaman ruang siber, jika dahulu jenayah berlaku secara fizikal, kini penjenayah hanya menggunakan telefon pintar untuk memperdaya mangsa," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Daerah Kota Tinggi di Dewan Kejora, Bandar Penawar di sini hari ini.