KUALA LUMPUR: Golongan wanita perlu diberikan peluang yang setimpal dalam pelbagai bidang termasuk sektor keselamatan dan pertahanan negara, selaras dengan kebolehan serta pencapaian mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada masa sama, generasi muda juga perlu menguasai ilmu dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan, akhlak serta integriti.

Anwar berkata, peluang kepada wanita dalam sektor pertahanan perlu mengambil kira kebolehan dan kesesuaian tugas, selain memberi ruang kepada mereka yang berminat membina kerjaya dalam bidang berkenaan.

Menurutnya, pencapaian wanita dalam bidang pendidikan yang semakin menyerlah membuktikan golongan itu mempunyai keupayaan untuk memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara.