Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan tunduk kepada desakan pihak tertentu yang mahu dasar negara diubah berasaskan dominasi kaum demi kelangsungan politik semata-mata.

Beliau berkata kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera tidak perlu dipertikaikan.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan akan terus bertanggungjawab memastikan keadilan, kesejahteraan dan kebahagiaan setiap warganegara tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama.

Anwar berkata meskipun berdepan desakan supaya menyesuaikan dasar negara dengan mengutamakan dominasi kaum demi mengekalkan kuasa politik, beliau tetap berpegang teguh kepada prinsip untuk memimpin Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.