Kuala Lumpur: "Takkan Melayu hilang di dunia." ungkapan keramat itu seakan menemukan makna tersendiri di Guangzhou, China, apabila Bahasa Melayu terus hidup dan dituturkan jauh dari tanah air.

Di sebalik dominasi bahasa Kantonis, Bahasa Melayu turut mempunyai ruang tersendiri di bandar perdagangan itu apabila ia digunakan dalam interaksi dan kehidupan seharian terutamanya peniaga di bandar raya itu.

Dari pasar kain yang menjadi tumpuan peniaga hingga ke restoran yang menyajikan hidangan bercitarasa Melayu, bahasa kebangsaan itu menjadi antara penghubung masyarakat tempatan dengan pembeli.

Menerusi penerokaan 'peta Bahasa Melayu' di Guangzhou, seorang wartawan di China yang dikenali sebagai Husna, berkongsi pengalamannya mengikuti Pensyarah Universiti Pengajian Asing Guangdong, Zaiton dan pelajarnya, Falisha, menyusuri lokasi yang memperlihatkan kehadiran serta penggunaan bahasa berkenaan.