KUALA LUMPUR: Lama menyepi daripada dunia seni, pelakon veteran, Mak Wan Latah, 65, mengakui melalui tempoh sukar dalam kehidupan apabila berdepan masalah kesihatan dan tawaran lakonan yang semakin berkurangan.
Selepas terpalit kontroversi membabitkan pembantu peribadi kira-kira empat tahun lalu sehingga kes berkenaan dibawa ke mahkamah, Mak Wan atau nama sebenarnya, Halimatussa'diah Mohd Daud, seakan-akan tersisih daripada radar industri hiburan.
Malah, pelakon yang pernah menceriakan penonton dengan karakter bersahaja dan gelagat lucunya itu mengakui kontroversi berkenaan memberi kesan besar terhadap kehidupan sehingga menjejaskan kesihatan.
Katanya, sepanjang dua tahun selepas kontroversi itu, dia kerap berulang-alik ke hospital akibat komplikasi diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan masalah buah pinggang.









