KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar menggubal Akta Halal/Haram secara komprehensif bagi mengawal selia seluruh spektrum industri halal di negara ini.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, berkata perundangan khas itu penting bagi memastikan pihak pengeluar lebih bertanggungjawab dan dikenakan tindakan tegas berhubung status halal serta pelabelan produk makanan mereka.
"Ketika ini, beban untuk mengesahkan sama ada sesebuah produk itu benar-benar halal sering kali diletakkan di bahu pengguna.
"Urusan berkaitan halal di negara ini hanya ditadbir menerusi perundangan secara berasingan dan kerangka kerja yang berperingkat ini gagal memberi jaminan terhadap status halal produk dan perkhidmatan berikutan kelemahan penguatkuasaan serta amalan perniagaan yang tidak beretika," katanya dalam satu kenyataan, semalam.










